Sunday, September 30, 2007

suatu kemanisan


Tingkat ini merupakan tingkat terakhir yang aku kunjungi di perhentian ini. Sesungguhnya coretan yang berwarna-warni yang ku lakarkan di tingkat ini adalah satu pengalaman hidup yang cukup bermakna dalam kamus hidupku. Bermula pendakian ku di sini, aku telah nekad untuk buat yang terbaik kali ini. Ternyata pengalaman yang aku perolehi dari tingkat terdahulu merupakan bekalan yang amat memadai untuk aku memulakan apenghidupan di tingkat baru ini.

Sebenarnya, pendakian aku untuk sampai ke tingkat ini bukanlah semudah yang disangka. Terlalu berliku tangga-tangga yang terpaksa ku panjat untuk sampai ke sini. Setelah hampir lemas di tingkat bawah itu, laluan aku untuk sampai ke tingkat ini bukan sesuatu yang mudah. Kerumitan dan kesukaran terpaksa aku tempuhi untuk sampai di sini. Hanya tekad yang ku genggam itu menjadi senjata ku untuk meneruskan pendakian tangga-tangga ini. Akhirnya, setelah acap kali mencuba, jatuh dan bangun semula... bagaikan tiada harapan untuk aku sampai ke sini, aku berjaya juga menjejak kaki ke tingkat baru ini. Betapa bertuahnya aku rasai ketika itu. Alangkah puasnya hati ini hanya Tuhan yang tahu apabila akhirnya aku berjaya untuk singgah dan menginap di sini.

Bermulalah satu eksplorasi baru dalam hidupku di dunia baru ini...

Seawal kemunculan aku di tingkat ini, banyak juga perkara yang sukar untuk ditafsirkan ke atas diri ini. Banyak pengubahsuaian perlu aku lakukan ke atas diri ini bagi membolehkan aku hidup di sini. Sejujurnya aku jelaskan di sini, kehadiran aku di tingkat ini tidaklah menepati keinginan aku sepenuhnya. Sebenarnya, keinginan aku di awalnya adalah untuk menginap di bilik 222, namun oleh kerana peluang yang terbuka untuk aku singgah di sini hanyalah ada di bilik 225 ini, maka aku kuatkan semangat dan gagahi langkah untuk masuk dan singgah di sini juga. Sukar sebenarnya untuk aku terima keadaan di dalam bilik ini pada awalnya. Aku yang telah pun dibekalkan dengan ego dan pengalaman tersendiri daripada tingkat sebelumnya memandangkan komuniti di bilik ini seperti bukan forte aku. Agak rumit juga secara peribadinya bagi aku menerima komuniti di sini. Namun aku yang sememangnya seorang yang fleksibel, berjaya memuatkan diri ini ke dalam komuniti baru ini. Aku pujuk hati dan aku kuatkan semangat untuk mencapai matlamat yang telah aku sasarkan sebagaimana di awal persinggahan aku di perhentian ini dulu.

Apa yang pasti, kehidupanku di sini jauh lebih meriah dan ceria. Aku yang sememangnya lebih berpengalaman berbanding dengan teman-teman lain di bilik ini cukup menikmati keseronokan hidup di tingkat ini. Hari-hari yang berlalu terasa amat pantas dengan seribu satu aktiviti yang menambahkan perisa dan warna dalam diari hidupku. Bila dikenangkan kembali di hari pertama aku muncul di sini, tersentuh juga hati ini mengingatkan betapa persinggahanku di sini penuh dengan rencah. Setiap hari, aku belajar pelbagai perkara baru. Hari yang silih berganti mendewasakan aku, mematangkan fikiran... dan yang pasti menjadikan aku insan yang lebih berkeyakinan dan berani dari semalam.

Pelbagai warna telah aku lihat di dalam aku menjalani kehidupanku sepanjang persinggahanku di tingkat ini. Dugaan hidup yang bersifat peribadi di samping cabaran yang mendatang untuk terus kekal di tingkat ini telah banyak mendewasakan aku. Kini, aku banyak beroleh pengalaman hidup yang tidak tertaksir nilai harganya. Pahit manis hidup di sini memang tiada tolok bandingnya. Apa yang pasti erti hidup yang lebih baik dapat aku pelajari di persinggahan ini. Kehidupan selama tiga tahun di sini terlalu banyak memandu aku mencari arah tuju hidupku di masa akan datang.

Persinggahan aku di sini adalah satu persinggahan yang tepat. Keputusan yang aku buat pada pertengahan tahun 2005 itu adalah suatu langkah yang bijak sebenarnya. Aku gembira di sini. Aku hidup di sini berlandaskan dokma ciptaan ku sendiri dan tidak keterlaluan aku sifatkan, aku berjaya dengan dokma itu. Walaupun rentak kehidupanku pada awalnya kurang disenangi oleh sebahagian besar komuniti di sini, tapi berkat pencapaian yang aku kecapi telah mengiktiraf aku sebagai komuniti yang memang berhak dan layak untuk berada di sini. Hari ini, aku sedar inilah tempatnya, di sinilah tingkatnya yang sememangnya untuk aku. Mujur peluang ini terbuka untuk aku kecapi. Terima kasih Tuhan.




Tatkala aku mengarang ini, hanya tinggal beberapa hari saja lagi, tempoh persinggahan aku di perhentian ini akan berakhir. Terlalu singkat aku rasakan kemanisan persinggahan ini. Pengalaman di sini memang sesuatu yang unik dan terlalu istimewa. Di kesempatan ini, di hujung persinggahan aku di perhentian ini, aku harap agar benar-benar telah bersedia untuk melangkah ke hadapan. Mara ke laluan baru yang masih tidak pasti apa yang terhidang di hadapannya. Aku harap ianya sesuatu yang berwarna-warni dan bakal menjadi guru terbaru ku di dalam diari kehidupanku yang akan terus menjelang selagi nyawa di kandung badan.

Semoga nukilan ini tidak akan terhenti di sini kerana aku terlalu menikmatinya. Mencoretkan sesuatu demi kepuasan diri juga sebagai tatapan dan panduan hidup di masa mendatang. Akhir kata, sampai bertemu lagi di coretan yang seterusnya, di perhentian yang lain pula yang pasti akan menjanjikan seribu satu cerita untuk aku. Insya’allah.

Wassalam.

di tingkat itu


Umumnya, sepanjang 6 tahun aku berada di perhentian ini, aku singgah di dua tingkat yang berbeza. Di tingkat pertama, aku singgah dan menginap di situ seawal kehadiran aku di perhentian ini sehinggalah ke tahun 2005. Bermula dari lewat 2001, aku telah singgah di tingkat pertama perhentian ini. Tempoh sepanjang 4 tahun berada di tingkat itu cukup berwarna-warni. Penuh dengan seribu satu coretan yang melengkapi kotak memori ini. Bayangkanlah bagaimana aku mula mencari tapak dan menyesuaikan diri untuk berada di perhentian ini. Di usia yang agak mentah ketika itu, persinggahan di sini telah membawa aku ke satu alam baru yang tidak pernah aku alami sebelum ini.

Aku belajar banyak perkara... aku temui ramai teman baru yang diseragami pelbagai kerenah dan ragam. Cukup manis buat aku apabila berpeluang untuk mengenali erti hidup yang berlainan di tingkat ini. Di sini jugalah, aku mengenali seorang teman yang cukup istimewa dan kami masih akrab sehingga ke hari ini biarpun masa telah berubah dan haluan hidup telah berlainan arah.

Di tingkat ini, rentak perbualannya berbeza sama sekali jika dibandingkan dengan perhentian yang pernah aku singgahi dahulu. Penghuni di tingkat ini agak lantang dan berani dalam menyuarakan pendapat yang terbuku di fikiran mereka. Di sini juga, aku agak kaget dalam menempatkan diri di dalam komuniti ini. Rata-ratanya latar belakang komuniti di tingkat ini juga jauh berbeza denganku. Jika materi dijadikan kayu pengukurnya, aku dan latar belakangku amat jauh dan tertinggal dengan mereka. Bagai langit dengan bumi. Di awal pergaulan ku bersama komuniti di sini, pernah juga terbit rasa segan dan rendah diri terhadap mereka. Tapi aku seorang yang memiliki personaliti dan karakter diri yang agak kuat. Maka, kekurangan itu bisa aku atasi akhirnya. Berbekalkan semangat diri dan matlamat diri yang jitu, aku harungi hari-hari di sini dengan selesa dan ceria.

Di awal kehidupanku di tingkat ini, aku berjaya mencapai objektif dan sasaranku untuk berada di sini. Di kala itu, aku gembira dan berpuas hati dengan pencapaian yang aku perolehi di sini. Namun, masa terus mendaki dan aku semakin samar dan keliru dengan objektif sebenar kehadiranku di tingkat ini. Semakin hari semakin sukar dan tumpuan ku terhadap cabaran di tingkat ini semakin pudar. Aku semakin hanyut dengan keselesaan yang aku kecapi di sini. Kesannya, aku mula meragui keupayaanku untuk terus wujud di sini. Sejauh mana aku mampu pergi dengan cabaran di sini? Aku semakin hilang minat terhadap kehidupan di tingkat ini. Beberapa rentetan kegagalan terpaksa aku telan dan telah memakan diri kerana kealpaan aku sendiri. Mujurlah Tuhan senantiasa membantu memberikan pedoman dan cahaya di perjalananku di tingkat ini. Sempat untuk aku timbul sebelum terus tenggelam bersama kecuaian diri ciptaan sendiri.

Di saat itu jugalah, aku sedari bahawa sekali lagi aku telah salah membuat keputusan. Silap dalam memilih tingkat untuk aku singgahi di perhentian ini. Syukur, teman-teman rapat cukup ikhlas dalam memandu aku ke arah laluan yang lebih berhak untuk aku. Maka, bermula dari situ, aku tekad untuk memulakan hidup baru. Mula untuk mendaki ke tingkat yang lebih tinggi yang mana aku lebih layak untuk berada di situ. Dengan tekad, redha dan tabah, aku memulakan pendakian ke tingkat yang lebih tinggi di perhentian ini dan tidak menoleh ke belakang lagi...

segar dalam ingatan

Lewat ini, makin kuat memori ku mengimbas kembali kenangan-kenangan yang tercipta sepanjang tempoh 6 tahun aku di sini. Persinggahan aku di perhentian ini... jika dikenangkan kembali bagaikan bulan jatuh ke riba. Sesuatu yang tidak dijangka sama sekali. Seingat aku, aku tidak pernah merancang sama sekali untuk singgah di sini, di perhentian ini.

Diimbas kembali di masa itu, di lewat tahun 2001, di situlah aku mula menapakkan langkah pertama aku di perhentian ini. Segalanya bagaikan sesuatu yang amat asing dan baru buat aku. Ketika aku di usia 19 tahun, aku turun dari ekspress perjalanan ku dan singgah di sini. Walaupun aku telah bersedia untuk ke sini dan telah aku ketahui tujuan dan matlamat aku untuk singgah di sini, namun pada saat itu segalanya masih terlalu asing buat ku. Masih terlalu samar untuk aku bayangkan laluan yang menanti di hadapanku. Apa yang aku ingat, aku hanya melangkah mengikut arus yang telah ditetapkan kala itu.

Tanggal 4 November 2001, aku bersama abah turun dari ekpress kami dan singgah di sini. Di saat itu, perasaan yang meluap-luap di dalam bagaikan tidak terucap dengan kata-kata. Melihatkan persekitaran di perhentian ini, satu pemandangan yang cukup indah. Satu dunia baru buatku. Aku, di saat itu terlalu kerdil untuk berada di perhentian ini. Namun jauh di sudut hati, aku tak henti memanjatkan kesyukuran atas peluang yang terus diberikan-Nya membolehkan aku untuk berada di perhentian ini di pagi Ahad itu. Sehingga ke saat ini, rentetan kenangan di pagi itu masih segar bermain di kotak ingatan ku ini. Betapa istimewanya hari itu, hari pertama aku berada di perhentian ini. Bermula dari detik itulah aku mendaki ke satu lagi fasa di dalam kehidupanku. Segalanya berubah mengikut masa sedikit demi sedikit.

Aku hadir ke perhentian ini setelah bangkit daripada kegagalan aku di perhentian sebelumnya. Terdahulu, aku telah gagal memanfaatkan peluang dan ruang yang telah diberikan oleh orang tuaku. Aku telah nekad bahawa aku tidak akan mempersiakan peluang kedua ini. Alhamdulillah, peluang kedua itu telah aku perolehi dan aku bersedia untuk memanfaatkannya seoptimum mungkin. Itu janji aku di saat aku mula-mula menapak ke perhentian ini. Dan sehingga ke hari ini, aku masih kukuh berpegang kepada janji itu.

Saturday, September 29, 2007

hanya satu persinggahan


Hanya satu persinggahan...

Begitulah boleh aku umpamakan persinggahan aku di sini... di satu perhentian yang penuh karakter dan unik. Perhentian yang lain dari yang lain. Punya nilai tersendiri, penuh cerita yang berwarna warni, yang telah pun mencorakkan diri ini. Satu perhentian yang cukup istimewa dan tersendiri. Perhentian yang telah aku diami, yang telah aku huni sejak hari pertama aku melangkah masuk ke sini... 6 tahun yang lalu.

Hari ini, perhentian ini masih utuh di sini. Yang datang silih berganti, yang singgah datang dan pergi. Aku masih di sini, terus menginap di sini selagi tempoh ku masih sah untuk aku berada di sini. Di perhentian ini aku belajar segenap bentuk cebisan hidup. Aku kenal erti kedewasaan melalui paparan kehidupan yang penuh cabaran dan berliku di sini. Di perhentian ini aku membesar bersama warna-warni kehidupan yang terhidang sepanjang lawatan aku di sini. Kisah suka duka, seribu satu rasa – girang, sayu, bangga, pujian, kepuasan, tamparan... tak terungkap dengan kata, tak tercongak dengan minda dan tak terhitung dengan jari betapa bernilainya pelajaran erti hidup yang telah aku kutip dan kumpul di persinggahan ini.

Sesungguhnya persinggahan aku di perhentian ini tidak terbanding dengan yang lainnya. Segala kenangan manis dan pahit yang ku hirup di sini tiada sekutunya. Takkan mungkin aku akan temui sesuatu yang seantara dengan perhentian ini walau aku cari sehingga ke nafas terakhirku. Kelainan erti hidup aku di sini... amat berbeza dan tak ternilai.

Banyak jasa yang telah perhentian ini curahkan kepada aku. Segala ilmu kehidupan yang aku perolehi di persinggahan ini tidak terbanding nilainya. Aku belajar erti kematangan di sini, aku dewasa di sini, aku kenal erti susah senang di sini. Jatuh dan bangun aku di alam ini... suatu pengalaman yang tidak terbeli di mana-mana. Hanya di sini... di sini saja aku kecapi semua itu.

Hari ini, kala ini, detik ini, waktu aku semakin hampir. Kesuntukan yang semakin menghampiri ini semakin terasa lewat ini. Rasa sayu dan sebak itu semakin menyelubungi setiap pelusuk benak ini. Semakin menebal dan semakin kuat menggenggami sanubari ini. Amat berat untuk aku melangkah pergi meninggalkan perhentian ini. Tapi itulah aturannya, aku harus akur kerna waktu untuk aku pergi semakin hampir.

Namun, aku berhak untuk bangga daripada apa yang telah aku kaut di persinggahan ini. Aku layak untuk merasa puas dengan rentetan pengalaman yang aku miliki di sini. Sesungguhnya segala bekalan yang aku perolehi di sini adalah bekalan yang sejati dan amat bernilai untuk aku menempuh hari muka. Persediaan untuk aku menongkah arus berliku di hadapan perhentian ini.

Terima kasih atas kesempatan yang diberikan untuk aku singgah di sini. Terima kasih atas segala pengajaran hidup dan ilmu yang aku kumpul di sini. Terima kasih kerana mendewasakan aku di perhentian ini. Terima kasih yang tidak terhingga. Walaupun berpisah di mata, namun di hati ku takkan lupa... alam ini, sesungguhnya satu persinggahan bermakna.

masih mencari...

Hi,

Puas aku mencari-cari tema yang bersesuaian demi memenuhi keperluan kursus ini. Sudah berkali-kali aku menghantar beberapa lembaran blog dan berkali-kali juga aku sunting dan padam. Acap kali aku merasakan apa yang telah aku coretkan sebelum ini tidak mencapai kehendak hati ini... jauh sekali untuk aku mengganguk setuju tanda puas hati dengan karya sendiri.

Sebenarnya sudah tidak terhitung jari jumlah blog yang telah aku utuskan terpaksa dihapuskan kerna hati tidak berkenan. Bagaikan satu tekanan untuk menghasilkan sesuatu yang benar-benar memberikan kepuasan tulen kepadaku.

Kini, untuk ke sekian kalinya, aku mencuba lagi. Menghayun jari jemari ini dan memeras ketajaman minda ini untuk menyatakan sesuatu di ruangan ini. Aku harap kali ini ia bisa kekal di ruang ini. Sekurang-kurangnya ada wadah untuk dikongsikan di persinggahan ini.

Saturday, August 25, 2007

mulanya di sini



Hi... sekadar pembuka bicara di ruangan yang terhad ini untuk aku kongsikan bersama secebis rentetan hidup yang datang dan pergi di perhentian ini.

Aku telah diamanahkan untuk memulakan penghasilan blog ini sebagai memenuhi tuntutan kursus pengajianku di sini. Terus terang aku katakan sebelum ini, aku lebih selesa dan teruja untuk melayari laman-laman blog penulis-penulis lain berbanding untuk aku mencoretkan sesuatu di atas kajang elektronik ku sendiri. Hari ini, atas dasar tuntutan, aku paksa jari-jemari ini untuk mengaturkan patah demi patah rentetan kata yang aku kira bersesuaian untuk aku lampirkan di sini. Namun, masih lagi aku kekok untuk memulakan sesuatu yang masih baru buat aku secara peribadinya. Biarpun laman blog seperti ini bukanlah sesuatu yang asing buatku namun daripada penghasilan ku sendiri, ini adalah yang karya ulungku.

Langkah pertama...haha.Aku sebenarnya seorang yang sangat menikmati dunia penulisan. Tidak kira dalam apa bentuk sekalipun. Menjadi satu keasyikan buatku untuk mencoretkan sebarang isu dan perkara yang ku kira layak dan hak bagiku untuk mengulas. Peribadi, umum, isu semasa mahupun dunia hiburan yang sering menjadi perhatianku serta apa jua topik yang ku anggap mampu untuk menarik perhatianku, pasti akan ku ulaskan dengan ritma dan gaya ku sendiri. Sebelum munculnya blog ini, aku selesa untuk menulis di atas kertas. Tidak pernah sama sekali terlintas di kotak minda ini untuk melakukan coretan dalam bentuk elektronik ini. Tapi sampai bila aku harus terus-terusan menulis dalam bentuk konvensional? Aku juga harus seiring dengan perkembangan teknologi... adalah memalukan jika masih berada di takuk lama tanpa memanfaatkan teknologi yang meriah ini. Namun, bukan sebarangan kata boleh dipanculkan, bukan sebarangan isu boleh dikupaskan, bukan sebarangan bahasa boleh diungkapkan dan bukan sebarangan gaya boleh dipamerkan memandangkan kajang-kajang ini bisa ditatap oleh segenap pembaca yang mengetahuinya. Untuk itu, aku perlu senantiasa waspada dalam setiap bait-bait kata yang ingin ku lontarkan di sini. Bukan apa, bimbang kalau-kalau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Tapi... semuanya bergantung kepada situasi. Itu yang pasti bagiku.

Buat kali ini, ku kira memadailah coretan pembukaan ini sebagai pemanas jari-jemari yang julung-julung kalinya mengarang di ruang ini. Apa yang penting, sekurang-kurangnya mulai detik ini, segala coretanku bisa dikongsi bersama buat yang menatapnya.

"Mulanya di sini..."






cintajuly@Sat 25 Aug 2007. 17:40